PETALING JAYA: Gara-gara membuat dakwaan terbuka terhadap Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Xavier Jayakumar kerana kononnya mengamalkan politik wang, Badrul Hisham Shaharin kini bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang. Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai 'Chegubard' yang digantung keahliannya dari PKR didakwa mengeluarkan kenyataan berniat jahat dan fitnah yang disiarkan portal berita pro-pembangkang, Malaysiakini.com dan akhbar Tamil Malar. Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard. Sambil menafikan terlibat dengan rasuah politik, Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas itu berkata dakwaan Chegubard menjejaskan reputasi beliau dan mencemarkan imej keluarganya. "Justeru saya tiada sebarang pilihan lain melainkan untuk mempertahankan integriti saya. "Saya sudah minta peguam untuk mengambil tindakan segera terhadap semua penerbitan yang menerbitkan berita berniat jahat ini. Surat tuntutan terhadap mereka juga sudah dihantar," katanya. Baru-baru ini Chegubard mengemukakan aduan bertulis kepada Jawatankuasa Disiplin PKR dan mendakwa Pengerusi Panel Bantahan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Abdul Malek Hussin menolak sogokan Xavier dan 'bosnya'. Menurut Chegubard, berdasarkan khabar angin, 'bos' yang dimaksudkan itu berkemungkinan Mohamed Azmin Ali yang hampir pasti mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini. Diketahui bahawa Xavier berada dalam kem 'Keadilan Raya' yang diketuai Azmin.