suria

FB Diskaun Saman Trafik: Laporan Polis Dibuat Tahun Lepas

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, SAC Mohd Fuad Abdul Latiff (dua, kanan) beramah mesra bersama anggota polis trafik yang menyertai program konvoi bermotosikal kempen Keselamatan jalan raya anjuran PDRM bersama iM4U ke Johor di Kuala Lumpur, Jumaat. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Laporan polis terhadap kewujudan laman Facebook yang kononnya menawarkan diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia telah dibuat pada Ogos tahun lepas.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff berkata laporan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan.

"Kami sudah buat laporan pada Ogos tahun lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Sudah lama (kes), mungkin ia sudah pun tenggelam dan timbul semula, yang terkini Menteri Pertahanan Datuk Dr Ahmad Zahid keluarkan kenyataan mengenainya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan flag-off program kesedaran dan keleselamatan jalan raya anjuran polis trafik PDRM dan iM4U di sini, Jumaat.

Beliau mengulas laporan pada minggu lalu mengenai orang ramai yang terpedaya dengan tawaran sebuah syarikat dan laman Facebook yang kononnya memberi diskaun saman trafik kepada orang awam.

Menurut Mohd Fuad, setakat ini hanya satu sahaja laman Facebook yang dikesan menawarkan tawaran seperti itu.

"Mungkin JSJK akan siasat dari mana punca laman web tersebut," katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa diskaun saman trafik tidak pernah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, kerajaan sebaliknya telah menetapkan satu mekanisme dengan menawarkan diskaun kepada pesalah yang dapat membayar saman lebih awal.

"Lebih lama tangguh bayar saman, lebih banyak yang perlu dibayar.

"Jika bayar dalam bulan pertama dari tarikh notis saman, memang sudah dapat 50 peratus diskaun, bulan kedua 30 peratus diskaun sehinggalah ia melewati tiga bulan," katanya sambil menambah kadar maksimum bagi kesalahan trafik adalah RM300.

trafik, FB diskaun saman, JSJK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain