suria

BN Selangor Tarik Balik Usul Bahas Hudud

Mohd Shamsudin Lias.
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Selangor pada Jumaat bersetuju menarik balik usul untuk membahaskan kebarangkalian melaksanakan hukum hudud di negeri itu dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin depan.

Ketua Pembangkangnya, Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata, keputusan tersebut dicapai melalui mesyuarat pra-sidang DUN BN pada Khamis.

Walaupun usul tersebut ditarik balik, Shamsudin berkata ia masih boleh ditanya dalam sesi perbahasan dan tidak perlu dikemukakan melalui usul khusus.

"Ia bukan rang undang-undang persendirian. Ia hanya bertanya kepada kerajaan (negeri) sama ada mereka mahu laksanakan hudud (atau tidak)," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Jelas beliau, walaupun BN menarik balik usul tersebut, hudud merupakan agenda utama PAS untuk mendapatkan kuasa politik bagi menubuhkan negara Islam.

"Jadi PAS bertanggungjawab sepenuhnya untuk merintis dan melaksanakan apa jua tindakan termasuk mengkaji kebarangkalian pelaksanaan hukum tersebut di Selangor," katanya.

Shamsudin yang juga Adun Sungai Burong berkata, sekiranya PAS Selangor tidak mengambil langkah signifikan ke arah pelaksanaan hudud di negeri itu, maka ia menunjukkan mereka bersikap hipokrit dan menipu pengundi demi kepentingan politik.

Katanya, soal mandat PAS di Selangor tidak mencukupi sepatutnya tidak timbul kerana parti itu boleh berbincang dan mendapat sokongan daripada BN, Umno dan Adun Islam dalam PKR bagi menyokong pelaksanaan tersebut.

"Dengan jumlah 15 kerusi PAS, 12 BN/Umno dan 10 Adun Islam dalam PKR, menjadikan jumlah 37 Adun sudah cukup kuat untuk melaksanakan langkah ke arah pengenalan hudud di Selangor," katanya.

Bagaimanapun, Shamsudin berkata, tiada usaha dilakukan walaupun sudah enam tahun mereka berkuasa di Selangor.

Cadangan membentangkan usul hudud di DUN Selangor itu dikemukakan oleh Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik pada 30 Mei lalu.

Sementara itu,  Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh pada Jumaat mempertahankan keputusannya membenarkan usul mengenai hudud yang dicadangkan oleh wakil rakyat Umno untuk dibentangkan pada persidangan yang akan bermula Isnin ini.

Tegas Hannah, sebagai Speaker beliau tidak boleh mengamalkan pendirian berpihak kepada mana-mana parti politik termasuk partinya sendiri iaitu DAP dan Pakatan Rakyat.

"Bila saya pengerusikan sidang DUN, saya tidak lagi melihat diri saya sebagai wakil rakyat DAP atau Pakatan Rakyat," katanya.

hudud, BN, DUN Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Lain