GEORGE TOWN: Mayat Teoh Cheng Cheng yang didakwa sebagai mualaf dibakar di Krematorium Batu Gantong mengikut upacara Buddha. Ibu Teoh, Tan Mah Suan, 64, teman lelakinya, anak-anak dan ahli keluarga lain hadir pada upacara pembakaran mayat itu. Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa Teoh Cheng Cheng yang didakwa sebagai mualaf bukan beragama Islam ketika wanita itu meninggal dunia. Pada Isnin, upacara pengebumian Teoh dikejutkan dengan kehadiran para pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) di sebuah apartment di Jalan Macallum untuk "menuntut" mayat berkenaan. Teoh didakwa memeluk agama Islam 17 tahun lalu, yang mempunyai nama Islam, Nora Teoh Abdullah. Peguam Wan Faridulhadi Mohd Yusoff, yang mewakili keluarga Teoh, berkata Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) tidak akan merayu bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu. Terdahulu, mayat Teoh dituntut kira-kira pukul 5 petang di bilik mayat Hospital Pulau Pinang. Peguam Ramkarpal Singh dan S.Raveentharan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wong Hon Wai dilihat menemani beberapa ahli keluarga Teoh menuntut mayat tersebut. Teoh, 38, ibu kepada empat anak, meninggal dunia di apartmentnya di Jalan Macallum pada Sabtu lalu.