KUALA TERENGGANU: Akta Hasutan 1948 masih diperlukan untuk mencegah insiden yang mengancam keselamatan negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional Datuk Ibrahim Ali. Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan tidak sekali-kali tunduk kepada desakan pihak tertentu supaya Akta itu dimansuhkan. "Kalau kita nak keselamatan negara terus kekal, kita tak boleh bebas seratus peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis Dialog Awam dan Isu- Isu Perpaduan Nasional Keempat di sini hari ini. Majlis dialog itu yang dihadiri kira-kira 200 orang mewakili 50 badan bukan kerajaan (NGO) diadakan dalam siri jelajah seluruh negara dan dijadual berakhir di Kota Kinabalu, Sabah, Ahad ini. Ibrahim berkata pihaknya turut meragui aspek keselamatan negara yang kian terancam ekoran pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa September 2011. "Jadi kita cadangkan supaya ada instrumen yang betul-betul berkesan demi keselamatan negara. Jika tidak, keadaan negara seolah-olah 'api dalam sekam' yang kalau silap bertindak, negara boleh hancur...ia umpama 'telur di hujung tanduk," katanya.