PETALING JAYA: Anggota kumpulan militan yang ditahan pada Jumaat telah dilatih di selatan Filipina dan dikatakan telah merancang untuk terbang ke Syria dan Iraq, di mana kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) sedang menjalankan serangan untuk menjatuhkan rejim sedia ada. Menurut sumber, kumpulan militan ini merangka pelan untuk pergi ke Syria dan melancarkan serangan sebelum menuju ke Iraq untuk 'mengakhiri' pelan mereka. "Selepas melakukan serangan, mereka telah merancang untuk melancarkan serangan berani mati di Iraq," kata sumber. Tambahnya, seorang pegawai Tentera Laut berusia 31 tahun telah bertindak membantu menyeludup masuk pemimpin kanan dari selatan Filipina ke Sabah pada 11 Jun dan juga melindunginya di sebuah rumah yang selamat di Sandakan. "Ini memberi amaran bahawa seorang pegawai Tentera Laut, yang tahu suspek menjadi buruan polis, rela membantu kumpulan militan," kata satu sumber. Sumber itu berkata, suspek yang berusia 29 tahun, yang merupakan adik kepada pemimpin kanan, pernah mengendalikan sebuah syarikat pengangkutan logistik di Sabah. "Kedua-dua adik-beradik ini mempunyai ideologi yang sama," katanya. Menurut sumber itu, mereka percaya bahawa ahli-ahli lain dari kumpulan militan masih dilatih di kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo dan Basilan. Mereka berkata walaupun 15 militan telah ditangkap setakat ini, tidak ada senjata yang ditemui. Menurut sumber itu, Bahagian Counter Terrorism telah membuat pemantauan rapi di sepanjang sempadan Sabah dan pintu masuk lain di negara ini untuk memastikan sisa-sisa kumpulan militan tidak menggunakan Malaysia sebagai batu loncatan untuk melakukan serangan di Timur Tengah. Sementara itu, Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata anggota tentera laut yang ditangkap itu memegang pangkat tinggi dalam tentera. "Kita tidak menyokong aktiviti sedemikian. Ini adalah kes polis dan kita akan biarkan mereka menyiasat. Kami akan mengambil tindakan selepas siasatan selesai." Pada Jumaat, tiga lelaki termasuk seorang anggota TLDM ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman kerana disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan militan.