PETALING JAYA: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan hospital khas kepada anggota polis seperti mana kemudahan kesihatan yang disediakan kepada pihak tentera. Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri berkata, saranan itu perlu kerana tugas anggota polis terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit bawaan tahanan. "Hospital khas seperti ini dapat memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih fokus kepada anggota polis yang ada masalah kesihatan serius. "Anggota polis bukan senang-senang dapat cuti sakit, walaupun mereka benar-benar sakit," katanya kepada mStar Online. Berkongsi cerita yang pernah dilaluinya, Shafie berkata, beliau pernah diludah penjenayah dan menganggap ia sebagai sebahagian pengalaman menjijikkan. Katanya, insiden seperti itu boleh menyebabkan anggota polis terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit, terutama ketika berdepan dengan tahanan pada sesi soal siasat. Shafie Bakri. "Antara penyakit yang sering dialami anggota polis, terutama selepas menyoal siasat tahanan adalah batuk kering, demam dan selesema. "Tugas anggota polis ini bukan mudah, kami sering dicaci, dimaki dan pernah juga saya diludah pelacur, selain tahanan meminta duit sebagai tambang untuk pulang," katanya. Sebelum ini, portal ini menyiarkan laporan mengenai 243 tahanan mati dalam lokap polis sejak 2000 dengan 90 peratus daripadanya kerana masalah kesihatan. Sehubungan itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyarankan supaya dilakukan saringan kesihatan untuk setiap tahanan, selain anggota polis diberi suntikan vaksin bagi mengelak dijangkiti penyakit berjangkit. Mengulas berhubung perkara itu, Shafie berkata, beliau setuju anggota polis diberi suntikan vaksin serta menjalani pemeriksaan secara berkala bagi mengelakkan mereka terkena penyakit bawaan penjenayah. "Tugas anggota polis ini sangat berisiko dan sering kali terdedah kepada pelbagai penyakit. Oleh itu, saya menyambut baik cadangan Suhakam itu," katanya. Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan skim perlindungan insuran individu berbanding insurans berkelompok bernilai RM18,000 sekiranya berlaku kematian kepada anggota polis. "Sekarang ini kita hanya ada insuran kelompok, kita berharap dengan adanya skim insurans individu ini dapat meringankan beban keluarga. "Kasihanilah anggota polis yang maut ketika bertugas, apa akan terjadi kepada balu untuk meneruskan kehidupan, bagaimana pula nasib anak-anak mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.