suria

MP Veteran Bidas Kesatuan Sekerja MAS

Dr Tan Seng Giaw
KUALA LUMPUR: Kesatuan-kesatuan Pekerja Penerbangan Malaysia  (MAS) dikecam oleh seorang Anggota Parlimen (MP) paling lama berkhidmat kerana menghalang usaha untuk memulihkan MAS dengan tuntutan dan ancaman yang "tidak munasabah".

Dr. Tan Seng Giaw, MP Kepong yang berkhidmat selama lapan penggal berkata, "kisah MAS" berlanjutan lebih 40 tahun, manakala kesatuan semakin kukuh hingga boleh menggugat syarikat penerbangan nasional yang bermasalah itu sendiri.

"Memandangkan kesatuan-kesatuan ini sudah lama dan mantap, mereka membuat tuntutan-tuntutan yang menakjubkan. Jika ada kesatuan-kesatuan yang tidak memahami kedudukan industri penerbangan hari ini, MAS tidak boleh bertahan. Jika mereka membuat terlalu banyak tuntutan, bagaimanakah MAS hendak terus hidup?" tanya Dr Tan, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Dewan Rakyat.

Antara lain Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (Maseu), kesatuan terbesar dalam kalangan kesatuan-kesatuan sekerja dalam MAS, baru-baru ini mengancam melancarkan mogok jika tuntutannya supaya eksekutif pengurusan syarikat itu disingkirkan dan meminta kerajaan campur tangan dalam syarikat itu tidak dipenuhi.

MASEU tidak berpuas hati dengan percubaan pengurusan untuk menyusun semula MAS yang merangkumi ura-ura untuk menjual bahagian kejuruteraannya dan perniagaan-perniagaan bukan teras lain.

Dalam 2011 dan 2012, kesatuan-kesatuan pekerja MAS membantah cadangan penggabungan antara syarikat itu dan AirAsia, iaitu langkah yang disambut baik oleh banyak pihak sebagai permulaan baharu bagi MAS, termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua syarikat penerbangan itu yang tunduk kepada tekanan kesatuan itu dan pada Mei 2012, membatalkan penggabungan itu.

Dr Tan berkata, apa jua tuntutan yang dibuat oleh kesatuan-kesatuan itu seharusnya mengambil kira kepentingan syarikat penerbangan itu dan mestilah sejajar dengn prestasi kewangan, produktiviti dan pulangannya.

"Jika tuntutan dan ancaman itu merosakkan MAS, dan jika menyebabkan menjunamnya produktiviti, bagaimanakah MAS boleh mencapai prestasi yang baik? Jadi, saya rasa tuntutan ini tidak logik dan menjejaskan semua pihak, bukan sahaja MAS, malah juga imej Malaysia.

"Keadaan ini sudah berlanjutan terlalu lama dan saya rasa cukuplah setakat ini," tegas beliau.

Bercakap lebih lanjut tentang ancaman kesatuan-kesatuan itu untuk melancarkan mogok jika pengurusan penting tidak berubah, Dr. Tan berkata, kedua-dua pihak, iaitu kesatuan dan pengurusan harus mencari penyelesaian secara baik demi kepentingan kedua-dua pihak dan bagi kepentingan negara.

Beliau berkata, tuntutan kesatuan itu harus mengambil kira tuntutan yang selari oleh tuntutan kesatuan-kesatuan di  Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Britain.

"Kita perlu bandingkan tuntutan ini dengan tuntutan kesatuan-kesatuan lain di negara ini dan seluruh dunia, sama ada ia munasabah atau tidak. Apakah keuntungan yang boleh diraih oleh kesatuan-kesatuan ini, jika mereka dapat apa yang mereka mahu tetapi menyebabkan MAS jatuh?" tanya Dr. Tan.

MAS melaporkan kerugian sebanyak RM1.17 bilion tahun lepas dan RM443 juta bagi suku pertama 2014, jauh lebih teruk daripada kerugian RM279 juta yang dialami bagi suku pertama 2013.

Khazanah Nasional, pemegang saham majoriti MAS, juga telah mengumumkan bahawa ia akan memerlukan enam hingga 12 bulan untuk melaksanakan rancangan penyusunan semula syarikat itu dan semua pilihan sedang dipertimbangkan.

Dr Tan juga tidak bersetuju dengan sebarang langkah menyelamat selanjutnya bagi MAS, sambil berkata, langkah sedemikian tidak pernah menjadi cara yang sesuai bagi mana-mana syarikat.

"Budaya dalam MAS yang bergantung kepada subsidi kerajaan mestilah diberhentikan, memandangkan hakikat bahawa Khazanah Nasional setakat ini telah menyuntik sejumlah RM5 bilion wang pembayar cukai, namun tiada tanda-tanda syarikat penerbangan itu akan pulih.

"Dan setiap kali kita tukar CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), kita tidak nampak sebarang penambahbaikan hinggakan pada satu ketika, MAS menanggung hutang sebanyak RM8 bilion. Jika kita teruskan subsidi dan bantuan kerajaan begini, kita tidak akan ada sebuah syariiat penerbangan nasional yang berdaya maju selama-lamanya," kata beliau.

Dr Tan juga berkata, pencarian bagi seorang CEO MAS pada masa akan datang haruslah mengambil kira orang yang terbaik bagi tugas itu, tanpa mengira warna kulit atau keturunan, dan ini telah dibuktikan oleh syarikat penerbangan lain yang pulih dengan jayanya, manakala MAS terus gagal. 


MAS, kesatuan, MASEU

Artikel Lain