JOHOR BAHARU: Seorang murid tahun satu maut selepas dilanggar bas sekolah yang dinaikinya di Jalan Seroja, Taman Plentong Baru di sini tengah hari Ahad. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Abd Samad Salleh berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1.10 tengah hari sejurus Nor Balqis Atiqah Hamdan Rasan Tawani Ahmad, 7, yang baru pulang dari sekolah turun dari kenderaan terbabit untuk melintas jalan ke rumahnya. "Dipercayai selepas menurunkan Nor Balqis Atiqah, pemandu bas mini sekolah berkenaan terus bergerak menuju ke hadapan tanpa menyedari murid perempuan itu berada di hadapan basnya. "Selepas mendengar jeritan orang ramai, pemandu bas terbabit keluar untuk memeriksa keadaan dan mendapati mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 2 sudah terbaring di atas jalan raya di belakang kanan bas," katanya kepada pemberita di sini, Ahad. Beliau berkata Nor Balqis Atiqah yang cedera parah di kepala dan badan kemudiannya digegaskan ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia, hampir dua jam kemudian. Abd Samad berkata pemandu bas berkenaan, seorang wanita berumur 40-an sudah membuat laporan polis dan siasatan lanjut terhadapnya kini sedang dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sementara itu bapa saudara mangsa, Sulaiman Ibrahim, 48, yang ditemui di rumah mayat berkata beliau menerima panggilan kira-kira pukul 2 petang dari ibu mangsa, Noraini Husin, 31. "Saya masih terkejut dan tidak menyangka kejadian seumpama ini menimpa anak saudara saya. Pemandu bas tersebut sepatutnya kena berwaspada dan memastikan murid-murid selamat sampai ke rumah sebelum menggerakkan kenderaannya," katanya. Menurut Sulaiman, jenazah anak ketiga daripada tujuh beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tengkorak. Bapa murid terbabit yang merupakan pekerja sebuah syarikat perkapalan di sini kini sedang berada di Filipina.