KUALA LUMPUR: Anggota bomba bakal berdepan hari-hari yang panas sekali lagi selepas mengalaminya dalam tempoh singkat akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di antara Januari dan Mac lalu. Fenomena El Nino dijangka bermula tidak lama lagi dan kekal sehingga Ogos, sekali gus dikatakan akan memberi cabaran kepada batas dan keupayaan mereka dalam memadam kebakaran. Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata walaupun jabatannya bersedia menghadapi cabaran-cabaran yang dibawa oleh El Nino, musim yang sama sebelum ini memberikan mereka peluang untuk menilai kebolehan dan membuat persiapan untuk pusingan seterusnya. Katanya, berdasarkan cabaran yang dihadapi sebelum ini, beliau sedar jumlah 26,000 orang ahli bomba dan sukarelawan adalah tidak mencukupi. "Kadang-kadang, kami mempunyai tenaga kerja yang hanya cukup untuk mengendalikan satu kes kecemasan. Jika terdapat dua atau tiga kebakaran pada masa yang sama, ia akan menjadi sukar. "Kita perlukan sokongan daripada sukarelawan dan agensi-agensi seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela untuk meningkatkan tenaga kerja kami. "Kami memerlukan lebih banyak pam, hos dan peralatan untuk membantu memadamkan kebakaran hutan dengan mudah. Kami meminta peruntukan tambahan RM70 juta pada bulan Mei untuk tujuan ini," katanya dalam satu temu bual. Wan Mohd berkata selain pam mudah alih dan hos, jabatan ini juga memerlukan lori tiga dan lima tan serta kenderaan pacuan empat roda kerana kereta bomba tidak boleh digunakan untuk operasi 'off-road'. Beliau berkata jabatan itu telah diperuntukkan dengan RM120 juta tahun ini untuk mendapatkan kenderaan perkhidmatan perubatan kecemasan dan lori dengan tangki air. Beliau menambah, jabatan itu kini mempunyai tujuh buah helikopter - lima di Semenanjung dan dua di Sarawak. "Ia juga digunakan untuk melawan kebakaran hutan. Malah, kami juga menggunakan helikopter semasa musim kering." Beliau berkata, apabila musim kemarau, bomba terpaksa mendapatkan sumber air dari tasik, sungai dan kolam. "Oleh itu, kita memerlukan hos dan pam yang lebih panjang. "Kami kini mempunyai tangki air dengan kapasiti yang tinggi sebanyak 20,000 liter per tangki," kata beliau sambil menambah jabatan itu kini mempunyai 30 buah tangki air dengan 20 lagi yang akan dihantar tidak lama lagi. Katanya, kes-kes pembakaran terbuka, kebakaran hutan dan kebakaran tanah gambut bagaimanapun telah menurun. "Semasa kemuncak musim kemarau pada bulan Februari dan Mac, sebanyak 9,424 dan 9,467 kes dilaporkan. Pada April ia menurun kepada 1,975 kes, dengan 1,148 kes pada bulan Mei."