SHAH ALAM: Seorang lelaki memukul seorang pelajar berusia 14 tahun sehingga mati hanya disebabkan oleh bunyi bising motosikal kepunyaan remaja itu. Ketika kejadian, pelajar Tingkatan Dua itu sedang menguji motosikalnya bersama dua lagi rakannya di Bestari Jaya, Hulu Selangor pada malam Ahad. Suspek, 30, kemudiannya berhadapan dengan pelajar tersebut dan didakwa memukulnya pada peha kanan dipercayai menggunakan batang besi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, remaja lelaki itu meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah. Beliau berkata, polis mendapat maklumat berhubung insiden itu pada kira-kira pukul 11.40 malam, selepas lelaki itu disahkan meninggal dunai oleh sepasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh. "Insiden itu mungkin berlaku antara pukul 9.30 malam dan 11 malam. "Menurut doktor, hospital menerima panggilan untuk mendapatkan bantuan ambulan pada kira-kira pukul 10.40 malam. "Remaja itu bagaimanapun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya selepas pihak hospital cuba untuk menyelamatkannya," katanya. Mohd Adnan berkata, suspek ditahan di pondok pengawal di kilang di mana dia bekerja beberapa jam selepas insiden berlaku. "Pemeriksaan polis mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau," katanya. Motif di sebalik serangan itu dipercayai berpunca daripada bunyi bising yang dibuat oleh mangsa. Polis merampas baju milik suspek dan batang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Kes disiasat kerana membunuh.