suria

Lelaki Berseluar Dalam Buat Aksi Akrobatik Di Jambatan Pejalan Kaki

Seorang pengawal keselamatan sedang memeriksa keadaan lelaki yang hanya berseluar dalam di stesen LRT Bandaraya.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dalam lingkungan 30an mencetuskan kekecohan di Stesen LRT Bandaraya di sini pada pagi Isnin, apabila cuba untuk membuat aksi 'akrobatik' dengan hanya berseluar dalam di jambatan pejalan kaki.

Lelaki itu dilihat menanggalkan pakaiannya sehingga hanya menampakkan seluar dalamnya dan melakukan aksi 'akrobatik' di jambatan penjalan kaki di stesen LRT itu pada pukul 9.57 pagi.

"Saya rasa dia mahu melompat terjun ke jalan raya, tetapi dia tidak berjaya dan dia terlanggar penghadang," kata Ibrahim Sani yang menyaksikan kejadian itu ketika sedang bersarapan pagi berhampiran.

Ibrahim berkata, lelaki itu masih sedarkan diri selepas terjatuh tetapi mengalami kecederaan.

"Dia mengalami kecederaan di bahagian belakang seperti patah tulang.

"Saya segera menghubungi polis dan ambulans, dan datang untuk membantunya.

"Ramai yang mengerumuni lelaki itu, tetapi tiada sesiapa pun yang cuba berbuat apa-apa untuk membantu," tambahnya.

Lelaki yang hanya berseluar dalam itu mula berdoa selepas dia jatuh dan cuba untuk merangkap dalam jarak 100 meter menghala ibu pejabat CIMB.

"Dia kemudiannya mula bercakap mengenai nenek dan datuknya," kata Ibrahim.

"Dia mungkin menghidap penyakit skizofrenia atau khayal akibat pengambilan dadah kerana dia memberitahu dia mendengar suara dalam fikirannya.

"Saya memberitahu dia supaya tidak bergerak kerana dia tengah kesakitan, tetapi dia tidak mendengar kata-kata saya," katanya.

Ambulans dan polis tiba di tempat kejadian 10 minit dan mendapatkan lelaki yang cedera itu.

Artikel Lain