suria

Tongkang Bawa 97 Pendatang Asing Karam, 61 Diselamatkan

Pasukan SAR masih berusaha mencari mangsa-mangsa tongkang karam yang belum ditemui.

PETALING JAYA: Sebuah tongkang yang membawa 97 warga asing karam kira-kira dua batu nautika dari perairan Sungai Air Hitam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Selangor Selatan Azmi Sadun berkata, sehingga pukul 1 tengahari, Rabu, seramai 61 mangsa telah diselamatkan oleh pasukan SAR yang terdiri daripada 12 wanita dan dua kanak-kanak.

"Mayat seorang lelaki dipercayai yang menaiki tongkang terbabit telah ditemui pada pukul 10.55 pagi oleh seorang nelayan dekat Sungai Langat.

"Mangsa-mangsa telah dibawa ke Balai Polis Teluk Panglima Garang," katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Banting menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.24 pagi Rabu dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah dihantar ke tempat kejadian 30 minit kemudian.

Tongkang tersebut dipercayai sedang dalam perjalanan membawa pendatang asing pulang ke Acheh.

Pencarian untuk mangsa-mangsa lain sedang dijalankan dan anggota bomba sedang memantau kawasan persisiran pantai.
tongkang, karam, Banting

Artikel Lain