suria

Kes Culik Di Kunak: Isteri Mangsa Pastikan Tidak Terlepas Jawab Panggilan Penculik

LAHAD DATU: Chin Pek Nyen sentiasa memegang dua telefon bimbit; satu miliknya dan satu lagi milik suaminya, dengan bateri yang dicas sepenuhnya.

Dia tertunggu-tunggu sebarang perkhabaran daripada kumpulan penculik Filipina yang menculik suaminya, Chan Sai Chun pada Isnin.

Empat penculik dikatakan menyelinap keluar ke selatan Filipina selepas menculik lelaki berusia 32 tahun itu dan seorang pekerja Filipina Maslan, 20, dari sangkar ternakan ikan mereka di Kg Sapang, Kunak kira-kira pukul 12.45 pagi.

"Setakat ini, saya belum menerima sebarang panggilan. Saya bersedia untuk berbincang dengan mereka," katanya kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, yang melawat pusat ternakan tersebut, yang terletak kira-kira 60km dari sini.

Kelihatan tertekan, Chin berkata dia bagaimanapun sentiasa mendoakan keselamatan suaminya.

Berikutan kejadian itu, dia segera menghantar anak saudaranya berusia dua tahun dan lima tahun, yang berada di bawah jagaan mereka tinggal dengan saudara-mara lain buat sementara waktu.

"Saya akan menunggu panggilan dibuat. Mereka akan membuat panggilan, saya akan menunggu di sini," kata Chin yang menyedari bahawa kumpulan lelaki bersenjata akan menghubungi keluarga untuk menuntut wang tebusan berdasarkan kejadian lalu.

Kumpulan lelaki bersenjata dilihat meninggalkan lokasi kejadian menaiki sebuah bot dengan 40 kuasa kuda, menuju ke Pulau Batik sebelum menyeberangi Pulau Tawi Tawi di selatan Filipina.

Mereka masih belum ditemui oleh polis Filipina dan pasukan keselamatan.

Walau bagaimanapun, kedudukan Maslan sebagai mangsa tebusan masih tidak diketahui.

Saksi mendakwa dia melompat dari bot yang dipandu laju dan berenang ke pantai.

Maslan bekerja di sebuah pusat ternakan ikan dalam sangkar dan dipaksa oleh penculik untuk membawa mereka pergi ke tempat Chan semasa kejadian.

Omar berkata kumpulan lelaki bersenjata itu juga mencuri dua set televisyen, enjin sangkut dan gerudi dari pejabat pusat ternakan itu.

Mereka menculik Chan yang ketika itu keluar dari bilik untuk menyiasat bunyi bising dan punca anjing menyalak.

Chin, yang berada dalam bilik yang dikunci melihat penceroboh, berkata mereka mengacukan senjata kepada suaminya, yang meminta supaya dengan mereka tidak mengganggu keluarganya.

Chin berkata suaminya berkata, "Saya akan mengikut kamu."
Kunak, culik, penternak ikan

Artikel Lain