KUALA LUMPUR: Kementerian Luar pada Rabu menasihatkan rakyat Malaysia di Thailand supaya mengelak daripada berada di lokasi-lokasi perhimpunan bantahan yang mungkin diadakan oleh penduduk negara itu dan menjaga keselamatan diri setiap masa. Kementerian itu juga menasihatkan rakyat Malaysia agar menunda semua perjalanan yang tidak perlu ke Wilayah Narathiwat, Patani dan Yala buat sementara waktu atas faktor keselamatan. "Malaysia terus memantau secara dekat perkembangan situasi politik di Thailand, termasuk pengumuman oleh National Council for Peace and Order (NCPO) Thailand pada 13 Jun lalu berkenaan penarikan balik perintah berkurung bagi seluruh negara itu," menurut kenyataan Wisma Putra Rabu. Rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke Thailand dan menetap di negara itu juga dinasihatkan supaya mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok (kawasan tengah dan utara Thailand) dan Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla (kawasan selatan Thailand).