ALOR SETAR: Seorang peniaga kuetiau goreng bertindak menetak dan mencederakan isteri dan pembantu gerainya dengan sebilah parang selepas menjumpai mereka berdua-duaan tanpa pakaian di dalam rumah sewanya. Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi Rabu di sebuah rumah yang disewa suspek di Kampung Langgar dekat sini. Suspek dan keluarganya berpindah ke rumah tersebut kira-kira seminggu yang lalu. Suspek melanjutkan tempoh perniagaannya sehingga 3 pagi atau 4 pagi sejak bermulanya kejohanan Piala Dunia. Namun, dia dipercayai balik ke rumah lebih awal untuk menonton perlawanan diantara Brazil dan Mexico yang bermula pada pukul 3 pagi. Suspek berusia 28 tahun itu menyerah diri di balai polis berdekatan selepas menetak kedua-dua mangsa. Isteri suspek berusia 32 tahun mengalami kecederaan parah di paha kiri manakala tangan kiri pembantu gerai berusia 19 tahun itu hampir putus. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini. Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 Jun ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.