suria

Bot Karam: Mayat Ditemui 14 Bukan 15 - Polis

Sebahagian daripada 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang berjaya diselamatkan selepas bot pancung yang mereka naiki terbalik di Beacon Api Gila, perairan Sepang, Khamis lalu. - fotoBERNAMA
KUALA LANGAT: Polis Kuala Langat berkata jumlah mayat yang ditemui dalam kejadian bot karam yang membawa pendatang tanpa izin Indonesia di Perairan Sungai Air Hitam di sini Selasa lepas hanya 14 orang dan bukan 15 orang seperti dilaporkan media. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azman Abdul Razak berkata kesemua mayat itu terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita.

"Setakat pukul 10.40 pagi ini, jumlah mayat yang ditemui adalah 14 orang.

"Sembilan daripadanya (mayat) dipercayai berbangsa Acheh dan telah diserahkan kepada wakil yang diberi kuasa oleh Kedutaan Besar Indonesia di sini Sabtu.

"Mayat akan diterbangkan ke Bandar Acheh esok menggunakan dua laluan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang," katanya dalam sidang media di sini. 

Kata beliau, segala urusan untuk membawa pulang sembilan mayat itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Indonesia dan akan dikendalikan oleh sebuah syarikat pengurusan jenazah tempatan. 

"Syarikat pengurusan itu telah diberi kuasa oleh Gabenor Acheh untuk mengurus segala keperluan jenazah. Pertama, dari KLIA ke Medan seterusnya ke Bandar Acheh...kedua pula dari KLIA ke Jakarta sebelum ke Bandar Acheh. Ia bergantung kepada di mana waris atau keluarga terdekat mangsa berada," katanya.

Katanya, proses pengecaman kesembilan mayat itu juga dibuat berdasarkan kepada sampel DNA yang diambil pihak forensik polis bagi mengenal pasti identiti mereka.

Mengulas operasi menaikkan bangkai bot karam itu pula, Azman berkata ia terpaksa ditangguhkan hari ini atas faktor keselamatan bagi menjamin siasatan terhadap bangkai bot tidak terganggu.

Menyentuh dakwaan wujudnya pembabitan pihak tertentu dalam melindungi sindiket bot haram di sekitar daerah ini, beliau berkata tohmahan seperti itu tidak berasas sama sekali. 

Dalam tragedi itu, bot yang membawa 97 penumpang dipercayai berlepas dari jeti Sungai Judah, Pulau Carey kira-kira 11 malam, menuju Indonesia namun karam sejam kemudian. 

Sehingga Sabtu jumlah mangsa yang berjaya diselamatkan adalah seramai 63 orang termasuk 50 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan manakala yang dikhuatiri hilang masih kekal 20.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan