suria

Kerajaan Tetapkan 3 Agenda Pastikan Kebajikan Pekerja Terus Terbela - Najib

Najib menyampaikan Anugerah Tokoh Pekerja Negara kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) Norisah Bahrom, pada sambutan Hari Pekerja 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Sabtu.
MELAKA: Kerajaan menetapkan tiga agenda bagi memastikan kebajikan pekerja di negara ini terus terbela, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Katanya, usaha itu dibuat melalui agenda memantapkan pasaran buruh negara, memperkemas jaringan keselamatan sosial dan mengharmonikan perhubungan perusahaan.

Najib berkata, melalui agenda memantapkan pasaran buruh negara, kerajaan memberi tumpuan terhadap aspek berkaitan hak dan kebajikan warga pekerja termasuk penetapan dasar gaji minimum yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013.

"Meskipun menimbulkan pelbagai reaksi, pertumbuhan guna tenaga lebih tinggi dan pemberhentian pekerja yang lebih rendah telah menggambarkan bahawa kebanyakan syarikat berupaya membuat penyesuaian dengan dasar gaji minimum," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Hari Pekerja 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd Khalid Atan.

Najib berkata, berdasarkan tinjauan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, gaji purata sektor swasta naik 6.6 peratus pada tahun lepas berbanding enam peratus pada tahun sebelumnya.

"Secara puratanya pekerja kumpulan eksekutif mencatat peratusan gaji sebanyak 6.3 peratus, kekal sepertimana tahun 2012 manakala pekerja bukan eksekutif mencatat kenaikan 6.7 peratus pada tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya iaitu 5.8 peratus, sejajar dengan keputusan kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum," katanya.

Najib berkata, melalui agenda memperkemas jaringan keselamatan sosial, ia melibatkan kajian dan semakan semula akta-akta perburuhan secara holistik dengan semua cadangan penambahbaikan dibincang berasaskan semangat tripartisme sehingga suatu persetujuan dapat dicapai oleh semua pihak.

"Suatu sistem perundangan perburuhan yang moden perlulah diwujudkan supaya dapat menjamin perlindungan keselamatan sosial setiap golongan pekerja dan dalam masa sama memberi ruang serta keanjalan yang diperlukan industri untuk berkembang," katanya.

Najib berkata, agenda mengharmonikan perhubungan perusahaan pula merupakan prasyarat kepada pewujudan persekitaran mesra perniagaan yang merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, kesatuan sekerja perlu terus bekerjasama erat dengan pihak majikan bagi mengharmonikan perusahaan di negara ini.

Dalam pada itu, bagi melahirkan pekerja berinovasi menuju negara maju, Najib menggariskan tiga lagi prinsip iaitu budaya kreativiti dan inovasi; nilai tambah dan kompetensi serta permuafakatan kerja tidak dalam silo atau lohong masing-masing sebagai tambahan kepada lima prinsip yang diumumkannya pada Hari Pekerja Penjawat Awam di Kedah pada 1 Mei lepas.

Lima prinsip berkenaan ialah berilmu; kebolehpercayaan; budaya amalan kerja terbaik; semangat patriotik dan budaya keberhasilan berteraskan hasil.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kadar pengangguran negara terus kekal rendah sebanyak 3.1 peratus pada suku pertama tahun ini, suatu kadar yang menunjukkan guna tenaga penuh.

"Prestasi ini adalah jauh lebih baik berbanding negara lain seperti Indonesia sebanyak 5.7 peratus pada Febuari 2014 dan Filipina sebanyak 7.5 peratus pada Januari tahun sama," katanya.

Katanya, berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, pasaran kerja di negara ini bagi tahun 2013 juga kekal menggalakkan dengan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 13.65 juta orang berbanding 13.1 juta pada tahun sebelumnya.


Artikel Lain