KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang juragan bot dan merampas sebuah bot yang mengandungi puluhan kotak rokok kretek tiruan dipinggir Limbungan Tanjung Batu, Tawau di Sabah, petang Jumaat. Komander PPM Wilayah Empat, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, rokok itu dijumpai semasa pemeriksaan ke atas sebuah bot yang didapati mencurigakan. "Puluhan kotak rokok kretek pelbagai jenama disimpan di dalam bot berkenaan. PPM merampas kesemua rokok-rokok berkenaan dan menahan lelaki tempatan berusia 21 tahun yang bertindak sebagai juragan bot untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu. Menurut Mohamad, bot berserta enjin dan rokok yang dianggarkan bernilai RM148,000 itu dibawa ke markas PPM Tawau.