suria

Pengusaha Kelab Malam Ditembak Di Permas Jaya

JOHOR BAHARU: Seorang pengusaha dan pengurus kelab malam mati ditembak dalam satu kejadian di Jalan Permas 10, Permas Jaya, awal Sabtu.


Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam kejadian 2.15 pagi itu, lelaki berusia awal 40-an dan dikenali sebagai Kessu itu ditembak mati oleh suspek yang menaiki motosikal.

Katanya, mangsa yang memandu Toyota Harrier berwarna putih berhenti di depan sebuah lori kecil penjaja untuk memesan makanan dan ketika itu dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal berhenti di belakang kenderaannya.

"Pembonceng motosikal terus meluru ke arah mangsa yang masih berada dalam kenderaannya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kepalanya dari jarak dekat menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," kata Sulaiman dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, motif pembunuhan masih disiasat.

Sulaiman berkata, siasatan akan dijalankan dari segenap aspek termasuk latar belakang, penglibatannya dalam perniagaan serta masalah kewangan atau peribadi dan kemungkinan yang lain.

Bagi membantu siasatan, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian HotLine Ibu pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan di talian 07-2218 999.


kelab malam, Permas Jaya, Kessu

Artikel Lain