SAMARAHAN: Tiga orang pelajar perempuan yang menggelarkan diri sebagai 'gadis Pailang' dari sebuah sekolah menengah di sini yang didakwa membelasah seorang pelajar lain sekolah itu dan perbuatan mereka dirakam dalam video yang tersebar di Internet mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini pada Isnin. Ketiga-tiga mereka yang berumur 16 tahun itu mengakui di hadapan Majistret Zulhairil Sulaiman tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Ekoran pengakuan itu, Zulhairil memerintahkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 seorang dengan ibu bapa masing-masing sebagai penjamin sementara menunggu laporan akhlak mereka kepada mahkamah 11 Julai depan. Mereka turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sehingga tarikh tersebut, hari sebutan semula kes itu. Dalam kertas pendakwaan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sekolah yang sama kira-kira pukul 9.40 pagi 25 April lepas.