GEORGE TOWN: Sebuah gerai di Jalan Dr Lim Chwee Leong di sini diserang sekumpulan lelaki semalam kerana pemiliknya dilapor tidak membayar hutang. Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian pukul 5 petang itu kumpulan berkenaan yang bersenjatakan rotan menterbalik meja serta kerusi yang menyebabkan beberapa pelanggan yang sedang menikmati durian bertempiaran lari. "Mereka turut mengambil wang dari laci kaunter dan anggaran kehilangan ialah RM5,000," katanya di sini pada Ahad. Beliau berkata suspek yang berusia sekitar 20-an dan 30-an ditahan pada pukul 7 malam tidak jauh dari lokasi kejadian dan siasatan mendapati kejadian itu bermotif hutang dan dendam. Siasatan mendapati kumpulan terbabit pergi ke gerai itu untuk mengutip hutang tetapi pemiliknya mendakwa dia tidak cukup wang dan secara tidak sengaja telah tertoreh tangan seorang daripada mereka dengan pisau mengopek durian. Mior Faridalatrash berkata pemilik gerai itu yang ketakutan kerana telah mencederakan orang membuat laporan polis bagaimanapun dia terlupa membawa kad pengenalan dan kembali ke gerainya. "Apabila tiba di gerainya, dia mendapati gerainya telah bersepah dan pekerjanya memberitahu kumpulan terbabit datang semula dan menyerang gerai itu," katanya.