KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA Datuk Dr Hou Kok Chung adalah antara empat individu yang mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen, Isnin. Tiga lagi yang dilantik ialah Ketua Penerangan MCA Kebangsaan Datuk Chai Kim Sen, Ketua MIC Bahagian Klang Datuk S.Vigneswaran dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pahang Datuk R. Goonasakaren. Mereka dilantik sebagai senator buat kali pertama untuk penggal tiga tahun. Hou, 51, yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, berkelulusan Ijazah Kedoktoran Falsafah dari University Of London. Menurutnya pelantikan itu membolehkannya menyuarakan pandangan masyarakat Cina di Dewan Negara. "Saya menghargai pelantikan ini. Sama ada di Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara, kedua-dua tempat ini merupakan ruang perbincangan antara pemimpin-pemimpin dalam pelbagai isu untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum," katanya kepada pemberita.