suria

Isu Kalimah Allah: Jangan Persoal Keputusan Mahkamah Persekutuan - KPN

Khalid Abu Bakar
SEREMBAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu kalimah Allah.


Katanya, Mahkamah Persekutuan telah pun membuat keputusan berkenaan isu itu, tetapi didapati ada pula pihak-pihak tertentu mempersoalkan keputusannya.

"Saya ingin memberi ingatan kepada mereka supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana kita (polis) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan.

"Ini berbahaya kerana jika dibiarkan masing-masing bercakap ikut suka hati, ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada ketenteraman awam. Saya memberi ingatan kepada orang perseorangan dan pihak berkenaan supaya jangan cakap sebarangan kerana Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan.

"Perkara ini bukan boleh dibincang secara terbuka," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Pada Isnin lepas, usaha Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran dari segi perundangan bagi menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan mingguannya The Herald versi Bahasa Malaysia, berakhir selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk kebenaran merayu.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tujuh hakim membuat keputusan dengan majoriti 4-3 menolak permohonan gereja itu.


Artikel Lain