suria

Polis Bantuan, Suami, Warga Myanmar Didakwa Culik Pelajar

KUALA LUMPUR: Seorang polis bantuan wanita dan suaminya serta seorang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan menculik dan melarikan seorang pelajar perempuan tingkatan dua pada Jun lepas.

Alice Ann John Louis, 21, suaminya Logedason Rajamanikam, 27, seorang pemandu lori, serta penganggur Hassan Sas Muhamad, 31, mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat hendak mengurung pelajar berkenaan dengan sulit dan salah di Taman Pelangi di sini pada 5 petang, 18 Jun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa tidak menawarkan jaminan terhadap Hassan yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) manakala bagi Alice dan Logedason, beliau memohon jaminan ditetapkan RM40,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Bagaimanapun, peguam Parvinder Singh Doal yang mewakili kesemua tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan yang ditawarkan kerana melebihi kemampuan anak guamnya.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudian membenarkan Alice dan Logedason masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan seminggu sekali.

Bagaimanapun Erry Shahriman tidak membenarkan Hassan dijamin.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 4 Ogos.

Myanmar, Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain