KUALA LUMPUR: Akibat 'khayal' hingga menendang pintu rumah, seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan hari oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu. Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Amirul Abu Bakar, 19 selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu sehingga pintu rumah milik Fadziatul Fasha Fadzil, 28, pecah dan menyebabkan kerugian RM200. Muhamad Amirul yang bekerja sebagai jurujual didakwa bertindak demikian di Flat No 407, Blok D 14, Seksyen 1, Wangsa Maju di sini jam lebih kurang pukul 9 malam, 19 Jun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia berada dalam keadaan khayal dan tidak sedar sewaktu melakukan kesalahan itu. Katanya dia seolah-olah terdengar orang meminta tolong dan ia mendorong tertuduh menendang pintu rumah mangsa. Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling, ketika kejadian Fadziatul sedang membasuh pinggan dan terkejut apabila terdengar bunyi seperti orang menendang pintu rumahnya.