suria

Liow Dahului Angkat Sumpah Menteri, Timbalan Menteri Baharu

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Liow Tiong Lai mendahului menteri dan timbalan menteri yang baharu dilantik, mengangkat sumpah memegang jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.


Dalam istiadat yang berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, Jumaat, dua yang dilantik menteri iaitu Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Dr Wee Ka Siong serta timbalan menteri terdiri daripada Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun, turut mengangkat sumpah memegang jawatan.

Kesemua mereka juga menandatangani dokumen sumpah menyimpan rahsia di hadapan Presiden Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Pada pengumuman Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan Liow yang juga Presiden MCA sebagai Menteri Pengangkutan, Mah yang juga Presiden Gerakan dan Wee, Timbalan Presiden MCA, masing-masing dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Lee Chee Leong pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Chua sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Chew sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain