suria

Bekalan Air Di Beberapa Kawasan di Selangor & KL Hampir Pulih

KUALA LUMPUR: Bekalan air ke kawasan Gombak pulih sepenuhnya lewat malam tadi dan bekalan air ke kawasan Petaling telah mencapai 90 peratus pemulihan, Kuala Lumpur (85 peratus) dan Klang/Shah Alam (77.5) peratus.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Priscilla Alfred berkata ini berikutan pengoperasian semula Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang dikendalikan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) kembali ke tahap normal sejak awal pagi Khamis lepas.

Namun, gangguan bekalan di sebahagian kawasan Hulu Langat masih belum pulih kerana bekalan air terawat dari LRA Sungai Semenyih dan LRA Sungai Langat yang masing-masing di bawah kendalian Konsortium ABASS Sdn Bhd (Abass) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PSNB) tidak dapat menampung permintaan air di kawasan yang terlibat.
 
"Kedua-dua loji ini tidak lagi dapat menambah pengeluaran air terawat kerana masing-masing sudah beroperasi di tahap maksimum," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu

Dalam perkembangan lain, lokasi paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Ketam dan Sungai Lima, Klang telah dikenal pasti semalam. 

Namun, pihak kontraktor yang dilantik belum memulakan kerja-kerja pembaikan ekoran mengalami kesukaran kerana keadaan paip yang tertanam di dasar laut yang dalam dan berlumpur. 



bekalan air, Selangor, KL

Artikel Lain