KUALA LUMPUR: Cuaca panas dan kering yang melanda Malaysia ketika ini tiada kaitan langsung dengan fenomena El Nino, kata Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah. Sebaliknya beliau berkata keadaan itu berlaku disebabkan Monsun Barat Daya yang berlangsung dari pertengahan Mei lalu dan dijangka berlarutan sehingga September ini. "Jadi, apa yang kita hadapi sekarang ialah fenomena cuaca lazim yang seringkali dikaitkan dengan Monsun Barat Daya iaitu kita akan mengalami musim yang lebih kering daripada biasa," katanya sambil menambah El Nino belum bermula lagi dan tiada tanda-tandanya setakat ini. Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu khas untuk rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama di sini, Jumaat. Pada awal Mei lalu, Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino, yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan, akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini. El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik. Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan. Menurut Azizan, berdasarkan 'kitaran angin' di Malaysia, musim panas dan kering itu biasa berlaku antara Jun dan Julai setiap tahun, sebelum monsun perantaraan bermula menjelang Oktober. Tambahnya musim hujan dan sejuk pula akan berlaku bermula November hingga Disember.