PETALING JAYA: Masyarakat Islam di Malaysia bersama jutaan umat seagama rantau ini dan seluruh dunia mula menunaikan ibadah puasa pada Ahad. Selain negara ini, umat Islam di Arab Saudi, Thailand, Singapura dan Filipina turut berpuasa pada Ahad, bagaimanapun Indonesia agak berbeza apabila menetapkan tiga tarikh bermula Jumaat. Berpuasa pada Ahad bermakna solat tarawih memenuhi kalendar sejak Sabtu lagi, manakala perniagaan di bazar Ramadan serta juadah berbuka secara bufet yang ditawarkan pula menawarkan pelbagai hidangan dan juadah menarik. Bagi yang dijemput menunaikan rukun Islam di Makkah dan Madinah, pastinya suatu pengalaman yang begitu istimewa dan berharga sekali. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa pada Ahad, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan Ramadan berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi). Kerajaan Arab Saudi juga mengumumkan puasa bermula sama seperti tarikh awal Ramadan di Malaysia. Di Makkah dan Madinah, umat Islam akan berpuasa seawal 4 pagi hingga 7 petang, dengan suhu dianggarkan antara 40ºC dan 48ºC. Permulaan ibadah ini turut disambut negara jiran di utara tanahair apabila umat Islam di Thailand turut menyambutnya pada Ahad. Perkara itu diumumkan oleh Sheikul Islam Thailand, Aziz Pithakumpol menerusi siaran langsung televisyen Thailand dari pejabatnya di Songkhla, semalam. Begitu juga bagi jiran di selatan apabila Dewan Agama Islam di Singapura (MUIS) memutuskan Ramadan yang merupakan awal bagi umat Islam berpuasa jatuh pada hari ini. “Berdasarkan perhitungan astronomi, bulan sabit sebagai tanda masuknya Ramadan tidak memenuhui kriteria yang disepakati oleh negara MABIMS (Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura),” kata Mufti Singapura, Dr. Mohammed Fatris Bakaram. Beliau juga mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa bagi umat Muslim di Singapura dan semoga Tuhan memberikan ketabahan untuk melaksanakan puasa dengan kerendahan hati serta kekuatan iman. Bersama Malaysia, Thailand dan Singapura adalah umat Islam di Filipina yang secara rasmi mulai berpuasa pada Ahad apabila pemimpin agama Islamnya tidak melihat hilal sebagai penetapan awal Ramadan. Komisioner Komisi Nasional Muslim Filipina, Mike Ibrahim, menyatakan gagal melihat bulan di beberapa daerah otonomi Muslim Mindanao sehingga puasa rasmi dimulai hari ini. Sementara itu, Gabenor Daerah Otonomi Muslim Mindanao, Mujiv Hatamn mengatakan festival makanan sedang dipersiapkan sehingga umat Islam dapat berbuka puasa setelah selesai bekerja. “Awal bulan puasa adalah hari kerja, tapi pekerja Muslim diperbolehkan bekerja sampai pukul 3 petang untuk memberi mereka waktu untuk mempersiapkan berbuka puasa saat matahari terbenam," katanya. Bagaimanapun, lain pula bagi umat Islam di Indonesia apabila puasa tahun ini bermula pada tiga hari berbeza dengan pertubuhan Islam terbesar negara itu, Muhammadiyah mengumumkan Ramadan bermula pada Sabtu. "Awal Ramadan berbeza lagi tetapi Aidilfitri mungkin serentak," kata Setiausaha Pengurus Wilayah Muhammadiyah Jawa Timur, H. Nadjib Hamid. Nahdlatul Ulama pula mengumumkan umat Islam akan mula berpuasa pada Ahad. Di Padang, Sumatera Barat, seramai 5,000 anggota organisasi Islam, Naqsabandiyah mula berpuasa lebih awal lagi iaitu pada Jumaat. Setiausaha Naqsabandiyah Sumatera Barat, Edison berkata, perkiraan permulaan Ramadan ditetapkan berdasarkan formula hisab munjib iaitu 1 Ramadan setiap tahun ialah 360 hari selepas awal Ramadan tahun sebelum itu.