PETALING JAYA: Baba's cu~bits musim ketiga bakal menemui penonton dengan menampilkan kelainan apabila 19 chef terkemuka tanah air diundang pada setiap episod program itu. Rancangan yang kembali menemui penonton pada 6 Julai ini akan memperkenalkan resepi baharu dengan cara penyediaan makanan yang lebih kreatif. Berikutan kejayaan musim pertama dan kedua yang meraih hampir sejuta penonton, Chef Kamarul kekal menjadi hos untuk 26 episod yang akan disiarkan setiap Ahad pada pukul 7.30 malam. Menurut Chef Kamarul, selama tiga musim berturut-turut beliau bersama kru produksi berkampung di studio untuk rakaman Baba's cu~bits. "Turut bersama kami adalah penggaya makanan yang menguji rasa semua 234 resepi sebelum dipertontonkan kepada umum dan boleh cuba dimasak kepada penonton. "Apa yang lebih menarik, semua resepi ini diolah semula dengan lebih kreatif dan inovatif," katanya pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini. Selain itu, bagi pencinta makanan yang belum mengikuti revolusi kulinari masa kini, pastikan tidak ketinggalan mengikuti Baba's cu~bits 3 menerusi TV3 pada Ahad ini atau secara online di laman sesawang www.tonton.com.my .