SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor pada Rabu mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri itu. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian bonus itu melibatkan seramai 17,000 kakitangan tetap, kontrak serta sambilan dengan peruntukan sebanyak RM32.7 juta. "Keputusan ini dibuat berdasarkan peningkatan kutipan hasil negeri sebanyak RM1.162 bilion setakat 30 Jun lepas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini. Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata Jabatan Audit negeri itu akan menjalankan audit terhadap pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri, pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri dan pejabat Anggota Parlimen Selangor bagi memantau penggunaan peruntukan kewangan bagi program kebajikan di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Katanya, tujuan audit ini adalah untuk memudahkan kerajaan negeri menilai keberkesanan program-program kebajikan yang dijalankan sejak 2008, selain memantau peruntukan yang dibelanjakan bagi mengurangkan risiko ketirisan. "Hasil laporan audit ini akan dihantar kepada Majlis Tindakan Integriti Negeri Selangor untuk dibuat rumusan dan memperbaiki sebarang kelemahan bagi meningkatkan lagi keberkesanan program-program kebajikan ini," katanya.