suria

Ahli Geng Palembang Dipenjara 22 Tahun

BALIK PULAU: Seorang buruh Indonesia dipercayai anggota 'Gang Palembang' dihukum penjara 22 tahun dan didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap 22 pertuduhan memiliki barang curi.

Majistret Muhammad Najib Ismail memerintahkan Irfan, 38, dihukum penjara setahun bagi setiap pertuduhan itu.

Bagaimanapun beliau memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dan Irfan hanya perlu menjalani hukuman penjara setahun bermula dari tarikh tangkap pada 21 Jun.

Tertuduh juga didenda RM1,000 atau enam bulan penjara bagi setiap 22 pertuduhan itu dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara 11 tahun lagi.

Warga Indonesia itu didakwa memiliki beberapa barang curi tanpa penjelasan yang memuaskan di sebuah unit di flat Bayan Baru pada 3.45 pagi, 22 Jun lepas.

Antara barang curi yang dimilikinya itu dompet Louis Vuitton, beg komputer riba Dell, lima telefon bimbit, tiga beg kecil, tiga sarung telefon bimbit, tiga beg galas, dua bekas cermin mata serta satu pek kad sim, fon telinga Bidenuo dan pelbagai mata wang asing.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Dalam rayuannya, Irfan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana telah menyesal atas kesalahannya.

"Saya juga mempunyai tanggungan seorang isteri dan tiga anak yang kini berada di Indonesia," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Edward Chan meminta hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana menyalah guna dokumen perjalanannya. 


Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Lain