suria

Air Mata Rindu Temani Pemburu Rezeki

Buruh warga Indonesia menghiburkan hati bagi mengubat rindu keluarga sempena Ramadan dan Syawal di rumah kongsi selepas penat bekerja dan selesai menunaikan ibadah puasa.
MORIB: Bekerja dalam keadaan panas terik, lebih-lebih lagi di bulan puasa menjadikan pekerjaan itu berganda bebannya, namun segalanya dipermudahkan semata-mata kerana niat untuk mencari rezeki di perantauan bagi mengubah nasib keluarga di kampung.


Keletihan kerana menjalankan kerja berat tidak menjadi penghalang kepada warga asing yang rata-ratanya beragama Islam untuk menunaikan ibadah wajib itu.

Tidak dinafikan, perasaan rindu suasana berpuasa dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga sukar dibendung atau diungkap dengan kata-kata. Malahan, air mata sering jadi peneman setiap kali terkenangkan anak, isteri serta sanak saudara di kampung.

Dengan bayaran hanya RM50 sehari, mereka senang bekerja di negara ini memandangkan ramai rakan senegara dan bahasa pertuturan yang mudah difahami, selain budaya yang hampir sama.



Cuaca terik bukan alasan untuk warga asing terus mencari rezeki pada bulan puasa.


Buruh binaan, Mohd Rey, 27 dari Jawa Timur menganggap bekerja di saat Ramadan adalah motivasi supaya dirinya untuk bersabar dan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Yang Maha Esa.



Buruh binaan berehat sementara menantikan waktu berbuka puasa di rumah kongsi


Kelihatan lebih tenang walau sudah berusia,  Budin Atip berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk bekerja sepanjang Ramadan, malahan kali ini sudah 10 tahun meraikan Aidilfitri di Malaysia.

Berusia 52 tahun, katanya, keluarga memahami cara kerjanya dan setiap kedatangan Syawal, wang lebih akan dikirim kepada keluarganya di Lombok, Nusa Tenggara Barat.

“Penyediaan buat hari raya nanti tetap akan dikirim, " katanya.



Suasana dalam rumah kongsi yang agak sepi kerana penghuninya keletihan selepas bekerja di tapak binaan.

Berasal dari Surabaya, katanya,  rutin kehidupan berbeza di bulan Ramadan kerana penghuni rumah kongsi akan bangun seawal pukul 3.30 pagi bagi menyediakan juadah sahur, sebelum bersiap untuk memulakan kerja hakiki sehingga 5 petang dan seterusnya bersiap untuk berbuka puasa.

"Jika berada di samping keluarga, isteri akan menyediakan sahur dan juadah berbuka puasa, namun di sini segalanya dilakukan sendiri."

"Sejak bekerja di Malaysia, saya dan teman-teman akan menyediakan juadah buka puasa bersama-sama dan selepas itu kami akan menunaikan solat berjemaah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di sini.



Berborak sambil menunggu waktu Maghrib untuk berbuka puasa bersama rakan senegara.

Berbeza pula keadaannya buat Mohd Tony, 30, juga dari Surabaya apabila beliau mengaku, setiap kali sebelum berbuka puasa, menjadi kemestian untuk melihat gambar anak perempuannya, Nurin Rahmahillah yang berusia 3 tahun yang berada di kampung.

"Saya akan pulang ke Surabaya bagi menyambut  Aidiladha nanti kerana sudah 4 tahun tidak pulang,” katanya sambil menitiskan airmata kerana terlalu merindui keluarganya.


Buruh wanita warga asing menyiapkan juadah berbuka untuk rakan di rumah kongsi.

Hal sama disampaikan buruh asing lain yang ketika ditemui gigih menjalankan kegiatan harian di tapak binaan seperti hari biasa kecuali waktu penyediaan juadah berubah, selain masa dihabiskan untuk menunaikan solat berjemaah.

Bagi  Waluyo Katiman, 37 dari Lampung, saat Ramadan adalah masa terbaik untuk berdoa supaya Tuhan memurahkan rezeki kepada beliau sekeluarga.

"Ramadan adalah titik tolak kepada menahan nafsu dan menghargai erti penat lelah bekerja. Bekerja buat keluarga di Indonesia adalah salah satu ibadah dan selama masih muda inilah masa buatnya berbakti kepada keluarga,” katanya.

Hidangan ala kadar dikongsi bersama buruh binaan warga Indonesia.



buruh binaan, Indonesia, Pantai Morib

Artikel Lain