suria

Kampung Boy Edisi Jepun Jadi Bahan Bantu Mengajar Di Universiti Tokyo

Lat dan Kampung Boy tidak dapat dipisahkan...

KUALA LUMPUR: 'Kampung Boy' edisi bahasa Jepun yang dilancarkan serentak dengan perasmian Pavilion Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Tokyo ke-21 (PBAT21) di Tokyo pada Rabu bakal dijadikan bahan bantu mengajar penuntut bidang pengajian Asia Tenggara di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS).

Novel grafik karya Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama TUFS Press di Tokyo, yang akan bertanggungjawab terhadap pemasaran 'Kampung Boy' di Jepun, termasuk mempromosi karya tersebut sebagai bahan bantu mengajar di TUFS, institusi pengajian tinggi tertua di Jepun yang turut bertindak sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran bahasa Jepun (BJ), kajian pedagogi BJ dan badan penasihat pendidikan BJ bagi dalam dan luar negara.

Edisi baharu terjemahan bahasa Jepun 'Kampung Boy' ini telah disempurnakan pelancarannya oleh pengarangnya, Lat sendir, serentak dengan perasmian Pavilion Malaysia yang sebelum itu menerima kunjungan Puteri Mako mewakili ayahandanya, Presiden PBAT, Putera Akishino.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron berkata, kerjasama penerbitan 'Kampung Boy' ini adalah satu di antara hasil strategik penyertaan Malaysia di PBAT selama tiga tahun sebelumnya.

Ia juga adalah perkongsian intelektual dua negara yang bakal menguntungkan kedua-dua pihak, khususnya dalam menyokong perkembangan bahasa dan tamadun Asia Tenggara.

Bagaimanapun, katanya, edisi 'Kampung Boy' ini bukan terbitan pertama dalam bahasa Jepun, kerana ia pernah diterbitkan syarikat tempatan, Shonbunsha Ltd. pada 1984 dan mendapat sambutan baik masyarakat negara tersebut.

“Terbitan kali ini sebaliknya adalah edisi baharu hasil terjemahan semula Hieda Natsue, pensyarah bahasa Jepun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kemudian disunting pensyarah TUFS, Profesor Madya Soda Naoki,” katanya.

Mengulas mengapa 'Kampung Boy yang menjadi pilihan bagi kerjasama ini, Ketua Editor TUFS Press, Profesor Iwasaki Minoru berkata, idea serta cerita yang digarap novel grafik yang telah diterjemahkan dan diterbitkan dalam 12 bahasa dunia ini bukan saja sesuai untuk tujuan pembelajaran, tetapi uniknya ia turut bersifat sebagai dokumen sosial masyarakat yang sekali gus menjelaskan mengapa ia boleh membina pasaran di pelbagai negara selain Malaysia dan Jepun, antaranya Perancis, Belanda, Jerman, Korea dan Amerika.

Dalam pada itu, Malaysia menyasarkan jualan RM6 juta melalui perolehan dagangan hak cipta pasaran antarabangsa membabitkan lebih 1,500 judul buku daripada 20 penerbit tempatan yang mengambil bahagian dalam PBAT21 yang berlangsung selama empat hari sehingga 5 Julai ini. Keyakinan itu berdasarkan keunikan kandungan pelbagai genre, khususnya lebih 1,000 judul e-buku yang mempunyai potensi meraih perhatian penerbit 25 negara, selari status PBAT sebagai pesta buku terbesar Asia dan pusat dagangan e-buku terbesar dunia.

Malaysia pada tahun ini terpilih sebagai 'Negara Tema' yang tampil meraih perhatian pengunjung menerusi pavilion unik berkonsep pulau peranginan seluas 302.4 meter persegi.

Selari dengan matlamat mempromosikan negara, pelbagai program menarik dianjurkan Malaysia, antaranya persembahan Makyung, dramatari tradisional Malaysia yan diiktiraf Unesco pada 2005 sebagai 'World Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity', selain persembahan khas gabungan Wayang Kulit Kelantan dan wayang boneka Jepun, Edo Ito Ayatsuri Ningyo yang akan turut dipersembahkan sebagai eksperimen kreatif, simbolik kepada penyatuan budaya Malaysia dan Jepun.

Delegasi Malaysia diketuai ITBM dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM) menerusi Tourism Malaysia.

Yang turut serta ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perbadanan Kota Buku, Penerbit Universiti Putra Malaysia, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Buku Fixi, Odonata Publishing Sdn Bhd, PTS Media Group Sdn Bhd, University Book Store Malaysia, Yusof Gajah Lingard Literary Agency, Kualiti Books Sdn Bhd, Penerbitan Pelangi Sdn Bhd, ACE EdVenture Studio Sdn Bhd, Shakespot Sdn Bhd, dan Learning Roots Sdn Bhd.

Menurut Mohd Khair lagi, inilah kali pertama Malaysia dipilih sebagai 'Negara Tema' pesta buku luar Negara, selain menjadi negara Asean pertama ditawarkan status tersebut selepas lebih 20 tahun PBAT diwujudkan.

Ini adalah pengiktirafan kepada negara, sekali gus menjadi platform terbaik untuk Malaysia mempromosi karyanya kepada lebih 1,500 pempamer daripada 25 buah negara. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ramadan Vs Piala Dunia

Artikel Lain