BATU PAHAT: Kementerian Pertahanan akan menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat insiden kereta perisai terbalik di Km232.6 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kuala Kangsar, Perak pada Khamis. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, siasatan itu akan menumpukan kepada dua perkara iaitu kerosakan jentera dan kecuaian manusia. "Laporan awal yang kita terima, kenderaan Sibmas yang bergerak secara konvoi itu mengalami kemalangan ketika menuruni Bukit Gantang. "Kita akan menubuhkan satu lembaga siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut secepat mungkin," katanya dalam sidang akhbar sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Umno Batu Pahat di sini. Menurutnya, siasatan itu penting bagi tujuan pembelian aset dan juga latihan untuk anggota tentera pada masa akan datang. Dalam insiden pada 6.30 petang pada Khamis, dua anggota tentera maut manakala dua lagi parah apabila kereta perisai yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik. Sarjan Bayong anak Burma mati di tempat kejadian manakala Koperal Che Mohd Patanah Che Ismail meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kuala Kangsar. Dua anggota tentera yang parah, iaitu Koperal Sharifuddin Abdullah dan Lans Koperal Freaddy anak Barlabas, menerima rawatan di hospital sama. Sementara itu, Hishammuddin berkata, kementeriannya menyokong tindakan Kementerian Luar yang akan menghantar Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail ke New Zealand untuk membantu siasatan berhubung kes dakwaan pecah rumah dan gangguan seksual. Penghantaran pegawai terbabit penting bagi menjaga imej negara, katanya. Katanya, keadilan perlu diberikan kepada kedua-dua belah pihak iaitu yang dituduh dan pihak yang menuduh. Jelas Hishammuddin kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa perkara dalam mengendalikan kes berkaitan seperti yang didakwa segelintir pihak. Muhammad Rizalman, 38, bekas pembantu staf pertahanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dituduh melakukan pecah rumah dan gangguan seksual dengan niat untuk merogol seorang wanita 21 tahun pada 9 Mei lalu.