suria

Mangsa Serangan Seksual Marah Tindakan Pihak Berkuasa New Zealand

Muhammad Rizalman Ismail.
PETALING JAYA: Wanita berusia 21 tahun yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual seorang diplomat Malaysia di New Zealand menyuarakan kemarahannya terhadap pihak berkuasa negara tersebut kerana 'mengabaikan nasibnya'.

Wanita tersebut dilaporkan memberitahu Ahli Parlimen New Zealand, Jan Logie bahawa dia terkejut dengan tumpuan kes itu, di mana dia hanya dirujuk sebagai 'mangsa'.

"Pada masa ini, dia masih lagi marah. Dia mendengar semua perdebatan dimana dia hanya dirujuk sebagai mangsa.

"Apa yang dilihatnya adalah isu yang penting - hakikat bahawa sistem tidak mendengar luahannya dan pada masa sama menafikan keadilannya," kata Logie seperti yang dipetik dari New Zealand Herald.

Logie berkata, wanita tersebut meluahkan perkara itu kepadanya kerana beliau sering bercakap mengenai keganasan seksual di Parlimen.

Ketua Pegawai Eksekutif Kementerian Luar New Zealand, John Allen pada Rabu memohon maaf  kepada wanita tersebut di atas kemelut yang terpaksa ditanggungnya.

Beliau turut sedia meletak jawatan atas salah faham yang tercetus tetapi permintaannya itu dibantah Menteri Luar New Zealand, Murray McCully.

Tertuduh, Pegawai Waran II, Muhammad Rizalman Ismail yang berkhidmat di  pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, didakwa melakukan serangan seksual itu dirumah wanita terbabit pada 9 Mei lalu.

Muhammad Rizalman kembali ke Malaysia dengan menggunakan kekebalan diplomatik akan dihantar semula ke New Zealand bagi membantu proses siasatan ke atasnya.


Artikel Lain