KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa sedih di atas pemergian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini yang meninggal dunia awal pagi Sabtu. "Saya sedih atas pemergian Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini. Semoga ditempatkan dalam kalangan yang beriman. al-Fatihah," katanya menerusi akaun Twitternya di sini. Sharifah Aini yang menyambut hari lahir ke-61 pada Rabu lepas, meninggal dunia kira-kira pukul 1.26 pagi ini di sebuah hospital swasta di Damansara, di sini kerana jangkitan paru-paru. Allahyarhamah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar Damansara sejak Selasa lalu setelah menghadapi kesukaran untuk bernafas.