JEMPOL: Yayasan Felda buat pertama kalinya mengambil inisiatif menerbitkan naskhah al-Quran terjemahan Bahasa Melayu dan Inggeris - Mushaf Al-Mukminin Al-Quran Al-Karim (Rasm Uthmani). Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Emel Faizal Mohd Mokhtar berkata dengan adanya terjemahan dwibahasa ini, ia membantu memudahkan dan meningkatkan kefahaman mereka yang membaca kitab suci itu. "Dengan terjemahan dwibahasa ini adalah diharapkan mereka yang membaca kitab suci ini akan dapat memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan menyelami intipati al-Quran. Dengan pemahaman serta penghayatan itu, Insya-Allah kita akan lebih meningkatkan kecintaan dan ketaatan kepada Allah SWT. Walaupun langkah ini mungkin kecil, namun adalah diharapkan ia dapat membuka ruang kepada kita untuk sama-sama menjadi lebih akrab dengan kitab Allah ini," katanya kepada pemberita di sini, malam Jumaat. Beliau ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran yayasan itu dan Parlimen Jempol di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol di sini, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat ke majlis itu. Turut hadir Pengerusi Felda yang juga anggota Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Dr Emel Faizal berkata pihaknya mengambil kira pelbagai aspek termasuk daripada aspek kajian dan penyelidikan sebelum naskah al-Quran terjemahan ini diterbitkan. Katanya naskah al-Quran terjemahan ini diterbitkan setelah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Februari lepas. "Untuk fasa pertama ini sebanyak 7,000 naskhah al-Quran terjemahan ini telah dicetak (disiapkan) dan 2,000 naskhah telah kita diedarkan pada majlis malam tadi. Kita akan edarkan al-Quran terjemahan ini berperingkat-peringkat dan tumpuan adalah di kawasan Felda di seluruh negara. Kita juga akan edarkan ke tempat lain mengikut keperluan dan kesesuaiannya," katanya. Katanya naskah al-Quran terjemahan ini tidak dijual dan bagi mereka yang ingin mendapatkannya boleh menghubungi Yayasan Felda.