suria

Ramadan Rapatkan Silaturahim Saudara Baharu Orang Asli

Saudara baharu dalam kalangan Orang Asli diterima masyarakat negara ini.
TEMERLOH: Kedatangan bulan Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu oleh kira-kira 400 buah keluarga saudara baharu Orang Asli di empat perkampungan di Kuala Krau, dekat sini.

Bagi mereka yang tinggal di perkampungan Orang Asli Kampung Penderas, Pian, Beredut dan Kampung Lubuk Wong, pada bulan ini mereka dapat berhimpun beramai-ramai mengerjakan ibadah termasuk berbuka puasa di surau.

Rosli Mat, 45, dari Kampung Penderas, berkata saat berbuka adalah yang paling ditunggu-tunggu kerana di samping dapat berkumpul bersama rakan-rakan, mereka juga bertukar-tukar juadah, menjadikan hubungan sesama mereka lebih mesra dan akrab.

"Selain itu kami juga mengerjakan solat tarawih bersama-sama, malah ada yang membaca al-Quran sehingga waktu sahur ," katanya.

Katanya situasi itu amat berbeza sebelum mereka memeluk Islam kerana jarang sekali mereka dapat berkumpul apatah lagi beribadat bersama-sama kerana masing-masing sibuk dengan tugas seharian.

"Ternyata Islam agama perpaduan dan dapat menyatukan umat terutama dalam bulan Ramada yang mulia ini," katanya.

Rakannya Jidin Abdullah, 38, berkata banyak hikmah yang diperoleh keluarganya selepas mereka memeluk agama Islam.

Selain mengajar umatnya berkorban, bersabar dan beramanah, Islam juga mengajar pengikutnya bersedekah, bersatu padu serta hormat-menghormati dan berusaha mencari rezeki, katanya.

"Saya bersyukur setelah memeluk agama Islam sejak tiga tahun lalu, rezeki semakin murah dan kehidupan lebih aman damai, ini jauh berbeza sebelum kami masuk Islam," katanya.

Zainal Mat Yatim, 58, dari Kampung Lubuk Wong pula berkata Islam mengajarnya menjadi individu yang lebih berdisiplin dan beretika menerusi ibadah berpuasa dan solat.

"Rezeki juga digandakan Allah. Walaupun hanya bekerja sebagai penoreh, tetapi kini rezeki saya melimpah ruah dengan beroleh pendapatan lebih RM1,500 sebulan dan bersyukur kerana mampu berbelanja untuk keluarga, malah kini dapat pula membina rumah baru dan beribadat.

"Saya bercita-cita untuk ke tanah suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima bersama keluarga dalam tempoh terdekat ini," katanya.

orang asli, saudara baharu, Ramadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain