suria

Rizalman Dijangka Diekstradisi Pada Isnin, Lapor NZ Herald

PETALING JAYA: Pegawai diplomatik, Muhammad Rizalman Ismail yang berhadapan dengan dakwaan kerana melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol di New Zealand akan dihantar ke negara itu pada Isnin.

Menurut New Zealand Herald, Pegawai Waran II itu dikatakan menjalani penilaian akhir pskiatrik pada Jumaat dan boleh dikeluarkan dari hospital pada hujung minggu.

"Kita hanya perlu mendapatkan keputusannya dan menunggu laporan doktor, dan dia boleh dibenarkan keluar dari hospital," kata seorang doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan.

Doktor itu turut berkata, Rizalman akan dihantar semula ke New Zealand secepat mungkin sebaik sahaja penilaian kesihatannya selesai.

Herald turut melaporkan satu sumber sebagai berkata bahawa sebanyak empat tempat duduk telah ditempah untuk penerbangan ke Auckland pada malam Isnin walaupun tiada nama yang diberikan untuk tempahan berkenaan.

Artikel Lain