SHAH ALAM: Semua rumah tinggi dan bertingkat di Selangor akan mempunyai meter air persendirian pada akhir tahun ini, membolehkan penduduk menikmati janji kerajaan negeri untuk memberikan air percuma. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan membantu penduduk yang tidak mampu membayar meter air pukal mereka bagi menggantikannya dengan meter individu. Katanya, Selangor akan membincangkan perkara ini dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengenai cara untuk membantu dari segi kos pemasangan yang dianggarkan berharga kira-kira RM70 setiap satu. "Syabas menggaji kontraktor dan kontraktor perlu dibayar. Kerajaan negeri akan duduk bersama dengan Syabas bagi membincangkan jaminan kos," kata Khalid pada konvensyen mengenai meter air anjuran Syabas di sini, Sabtu. Pertukaran itu katanya, melibatkan rumah bertingkat tinggi yang dibina sebelum tahun 2010, memandangkan pembinaan selepas tempoh tersebut sudah dipasang dengan meter individu. Penduduk yang kini membayar RM50 sebulan berdasarkan meter pukal, jelas sekali hanya akan membayar jumlah yang kurang selepas bertukar kepada meter individu dan menikmati air percuma, katanya. Walau bagaimanapun, Abdul Khalid berkata terdapat beberapa masalah, seperti bil air tertunggak, yang terpaksa diberi perhatian. "70 peratus (penduduk) telah membayarnya manakala yang lain tidak. Kita perlu menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu," katanya. Katanya, beliau juga telah meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberikan penjelasan terhadap dakwaan salah tangkap khalwat di Salak Tinggi pada 22 Jun. "Saya telah meminta Jais memberi penjelasan dan mereka mungkin memberikan penjelasan pada Isnin," kata Khalid sambil menambah Jais hanya perlu memberitahunya mengenai operasi yang melibatkan orang bukan Islam. "Jika operasi mereka melibatkan orang Islam, saya tidak meminta mereka untuk mendapatkan pandangan saya kerana saya tahu mereka mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya," katanya.