KUALA LUMPUR: Selain menjadi tempat menjual makanan, kuih-muih dan minuman untuk berbuka puasa, bazar Ramadan di seluruh negara kini menjadi tempat menyatukan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, khususnya dari segi makanan. Ia menjadi tempat untuk orang Islam dan bukan Islam, kaya dan terkenal, malah perdana menteri dan bekas perdana menteri mendapatkan juadah kegemaran mereka di tempat jualan yang hanya muncul sekali dalam setahun. Antara Bazar Ramadan yang popular di ibu negara adalah di Kampung Baru, Taman Tun Dr Ismail dan Bandar Sri Permaisuri. Penasihat Komunikasi Strategik Northport Malaysia Berhad, Ravindran Raman Kutty berkata, bazar Ramadan membolehkannya menikmati lauk dan kuih masyarakat Melayu. "Hamparan pelbagai jenis kuih Melayu di Bazar Ramadan amat mengasyikkan kerana anda tidak akan berpeluang melihat begitu banyak makanan dan kuih-muih Melayu pada masa lain sepanjang tahun," katanya. "Makanan di Bazar Ramadan pelbagai aneka dan jenis dengan bermacam-macam warna, reka bentuk, tekstur, rasa dan aroma. "Ia juga memberikan saya rasa 'perpaduan' apabila saya pergi ke bazar Ramadan untuk membeli-belah. Suasana Aidilfitri di bazar membuatkan saya rasa teruja untuk menyambut Hari Raya bersama-sama rakan Melayu saya," kata Ravindran. Sementara itu, seorang pekerja syarikat swasta, James Chong menyifatkan Ramadan sebagai masa yang istimewa buat dirinya terutama dari segi makanan. Juadah kegemarannya di Bazar Ramadan ialah rendang tok dan sotong sumbat yang biasanya dibeli di bazar Ramadan USJ. "Saya juga suka berkongsi dan bertukar-tukar pengalaman tentang makanan sedap dan enak yang kami beli di bazar Ramadan. Dengan adanya sosial media sekarang, lagi mudah untuk berbuat demikian," katanya dan menurutnya beliau akan mengunjungi beberapa bazar Ramadan sepanjang bulan puasa.