KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar berhati-hati terhadap sindiket penipuan pembayaran bil elektrik TNB melalui individu yang kononnya mewakili ejen persendirian. Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna), Bahagian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kamaliah Abdul Kadir berkata TNB tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen persendirian untuk menghubungi atau mendekati pengguna secara terus mengenai pembayaran bil elektrik. "Kami ingin mengingatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang taktik yang digunakan anggota sindiket untuk mendapatkan bayaran daripada pengguna," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad. Kamaliah berkata sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan pelanggan, TNB menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan urusan pembayaran dan sentiasa memastikan pengguna mendapat maklumat yang tepat berkaitan pembayaran bil elektrik bulanan mereka. Bayaran boleh dijelaskan di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan TNB, perkhidmatan online serta di institusi kewangan, Jabatan/Agensi Kerajaan dan syarikat pihak ketiga yang menjalankan operasi kutipan bil dari lain-lain utiliti dan pembekal perkhidmatan. "Ingin diingatkan ejen kutipan TNB tidak akan menghubungi atau mendekati pengguna bagi memaklumkan pengguna bil elektrik yang perlu dibayar dan seterusnya mengambil bayaran terus daripada pengguna," katanya. Kamaliah berkata, ejen kutipan bil elektrik TNB yang sah hanya menerima bayaran dalam bentuk tunai (kaunter pembayaran, kiosk layan diri dan mesin deposit tunai), debit terus kad kredit (online, autopay, phone banking) dan iDebit terus akaun simpanan & akaun semasa (online, autopay, direct debit, phone banking, mesin ATM). Beliau menambah ejen kutipan juga tidak menerima sebarang pembayaran melalui Cek/Draf Bank. "Pengguna akan dihubungi ejen kutipan hutang TNB sekiranya mereka mempunyai tunggakan bil elektrik yang telah tamat tempoh kredit. Namun, pengguna tidak akan diminta membuat bayaran terus kepada ejen berkenaan," katanya. Orang ramai boleh melayari laman web http://www.tnb.com.my untuk mengetahui senarai saluran pembayaran bil elektrik TNB.