suria

Penstrukturan Semula Esscom Mantapkan Kerjasama - Rashid

Abd Rashid Harun.
PUTRAJAYA: Penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dapat memantapkan kerjasama agensi keselamatan dalam mempertingkat keselamatan di pantai timur Sabah, kata Komander Esscom yang baharu Datuk Abd Rashid Harun.

Rashid yang akan mula bertugas pada 15 Julai ini yakin penstrukturan semula yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertingkat kerjasama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Beliau berkata perbincangan dengan pegawai Esscom akan diadakan untuk menambah baik keselamatan dan pertahanan di perairan pantai timur Sabah.

"Kita akan terus bekerjasama erat dengan Pesuruhjaya Polis Sabah dan juga Panglima Briged 5. Selain itu, Esscom akan bekerjasama rapat dengan penduduk setempat, ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK).

"Kita akan mendapatkan penambahan anggota ke Esscom dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Sebelum itu, Najib mengumumkan penstrukturan semula Esscom dengan mewujudkan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam manakala Rashid dilantik sebagai Komander Esscom dan mengetuai semua perkara berkaitan keselamatan, operasi dan pertahanan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Rashid mengakui adalah satu cabaran kepada pasukan keselamatan untuk mengawasi zon tanggungjawab Esscom meliputi kawasan sepanjang 1,733 kilometer dan keluasannya sekitar 100,000km persegi, dari Kudat ke Tawau.

Selain itu, beliau berkata terdapat lebih 30 pusat ternakan ikan dalam sangkar di pantai timur Sabah.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyambut baik pelantikan Rashid sebagai Komander Esscom. 

"Saya yakin beliau boleh melakukan tanggungjawab seperti yang diamanahkan perdana menteri dan saya yakin banyak pertimbangan telah dibuat perdana menteri sebelum membuat keputusan," katanya.

Shafie mengingatkan penduduk setempat agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mempertingkat keselamatan di perairan pantai timur Sabah agar pendapatan mereka tidak terjejas. 

Beliau berkata kejadian penculikan akan menjejaskan kehidupan penduduk setempat malah menjejaskan industri pelancongan negeri Sabah. 

"Jadi, penduduk setempat kena memainkan peranan dan perlu beri kerjasama kerana tempias kejadian penculikan akan kepada kita di kawasan-kawasan kampung.

"Jadi jika masalah ini berlarutan sudah tentu akan menjejaskan kedatangan pelancong dan tidak ada apa yang dapat kita pasarkan dan resort-resort yang kita bina akan kosong," katanya. 

Pada tahun ini sahaja setakat ini, tiga kejadian penculikan berlaku di kawasan pantai timur Sabah.
Esscom, Abd Rashid Harun

Artikel Lain