suria

Kaji Selidik Paypal Dapati Pengguna Malaysia Bimbang Keselamatan Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Walaupun membeli-belah dalam talian semakin digemari di Malaysia, masih ada kebimbangan terhadap keselamatannya dan terdapat tuntutan agar diwujudkan pembayaran dalam talian yang bereputasi dan dipercayai, demikian menurut satu kaji selidik oleh Paypal.

Kaji selidik dalam kalangan lebih 1,000 orang dewasa Malaysia itu juga menunjukkan bahawa 73 peratus daripada responden membeli dalam talian sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Mereka lebih suka melakukan ini dengan menggunakan peranti mudah alih seperti telefon pintar atau tablet. 

Hampir separuh (46 peratus) daripada responden membeli menggunakan peranti-peranti ini sekurang-kurangnya sekali sebulan. 

Lebih 56 peratus pula membelanjakan lebih RM200 membeli-belah dalam talian dalam masa tiga bulan lalu.

Kebimbangan utama berkaitan keselamatan membeli dalam talian adalah butiran kewangan dicuri oleh penjenayah siber dan menjadi mangsa pemalsuan (58 peratus), terpaksa berkongsi butiran kad kredit dengan laman web yang tidak pernah dilayari sebelum ini (23 peratus), tidak mendapat apa yang ditempah (sembilan peratus) dan enam peratus pula menerima barang yang sudah rosak.

Tetapi hanya 11 peratus yang benar-benar berdepan dengan sebarang bentuk kegiatan penipuan apabila membeli-belah dalam talian.

Kaji selidik itu mendapati walaupun membeli-belah rentas sempadan menjadi semakin popular, responden lebih bimbang mengenai keselamatan apabila membeli daripada laman web luar negara.


Paypal, beli-belah

Artikel Lain