KUALA LUMPUR: Ops Qaseh yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di bawah Akta Orang Papa 1997, sama sekali tidak ada kaitan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Menegaskan demikian, Menteri Datuk Seri Rohani Abd Karim berkata melalui Ops Qaseh, pengemis dan kutu rayau yang ditahan akan disaring terlebih dahulu sebelum diletakkan di Desa Bina Diri yang berfungsi sebagai pusat jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada mereka. Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyatakan bahawa kerajaan sesuka hati menahan dan menangkap pengemis dan kutu rayau tanpa diberi hak untuk dibicarakan, seakan-akan tahanan ISA. Rohani berkata mereka yang ditempatkan di Desa Bina Diri adalah atas perintah mahkamah dan oleh itu tidak timbul isu tidak diberi peluang untuk membela diri. "Bila kami dah selamat mereka dari jalanan, kita saringkan dan asingkan, yang 'foreigner' (pendatang haram) pula imigresen punya (diserahkan kepada imigresen), dan penagih dadah kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). "Kalau pesakit mental pula, sementara kami tunggu Jabatan Kesihatan kita akan sediakan tempat yang selesa, ada katil, bantal, very nice (cukup selesa), dan kalau mereka ada keluarga, kita akan pulangkan kepada keluarga mereka," katanya. Rohani bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Program Nur Qaseh Ramadan anjuran KPWKM di sini, Selasa. Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan oleh Yayasan Kebajikan Negara kepada 1,200 penerima terdiri daripada OKU, warga emas dan anak yatim.