suria

Rakyat Malaysia Simpan Pasport Dalam Kereta, Bawah Bantal – Imigresen

Eksklusif

PUTRAJAYA: Masih ramai rakyat Malaysia yang mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan menjaga keselamatan dokumen peribadi apabila ada yang menyimpan pasport di dalam kereta, malah di bawah bantal.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi, tabiat negatif itu menggambarkan seolah-olah pasport sesuatu yang tidak berharga.

Beliau berkata, sikap itu juga yang menyebabkan jabatan itu merekodkan sebanyak 83,015 pasport Malaysia hilang sejak 2010 sehingga Mei tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,098 kes kehilangan kerana menyimpan pasport di tempat tidak selamat.

“Berdasarkan keterangan pengadu, ada yang menyimpan pasport di dalam kereta, malah ada juga yang hanya meletakkannya di bawah bantal, selain atas meja, dalam laci dan atas almari,” katanya kepada mStar Online di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Sakib, apa yang lebih membimbangkan apabila kecuaian itu menyebabkan kehilangan dokumen tersebut jika kenderaan atau kediaman dipecah masuk.

“Sebanyak 29,700 kes kehilangan pasport disebabkan kecurian atau rompakan bagi tempoh sama,” katanya.

Menurut Sakib, situasi ketika berada di luar negara juga membimbangkan apabila pemilik pasport tidak menjaga dokumen peribadi itu dengan baik.

“Sebagai contoh ketika di hotel, mereka tahu peti keselamatan disediakan untuk menyimpan barang berharga seperti pasport, tetapi mereka masih menyimpannya di dalam bagasi.

“Walapun bagasi itu mungkin dikunci, tetapi ada kebarangkalian ia dipecahkan dan barang berharga di curi, begitu juga jika hanya meletakkan pasport di atas meja atau katil,” katanya.

Beliau menambah, alasan tidak disengajakan sering kali diberi apabila pengadu membuat laporan kehilangan pasport.

“Perbuatan pengadu yang tidak mengutamakan keselamatan dan mendorong kepada kejadian kecurian, ia boleh dianggap sebagai tindakan yang disengajakan,” katanya.

Selain itu, Sakib berkata, alasan tidak ingat di mana menyimpan pasport juga antara yang tinggi direkodkan iaitu 24,622 kes sejak 2010 sehingga Mei tahun ini.

“Pemilik pasport perlu memikirkan tempat yang dirasakan selamat untuk menyimpan pasport. Seelok-eloknya ia disimpan di tempat selamat seperti mana menyimpan kad pengenalan dan wang,” katanya.

Imigresen, Pasport

Artikel Lain