KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu mengecam tindakan tentera rejim Israel yang menyerang rakyat Palestin di Gaza. Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, turut mendoakan mangsa penindasan itu diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan terutama dalam bulan Ramadan ini. "Dalam semangat kemanusiaan, dalam bulan Ramadan Al Mubarak yang penuh kemuliaan, marilah kita bersatu mengecam keganasan terhadap saudara-mara kita di Gaza. Semoga mereka diberi kekuatan untuk berhadapan dengan dugaan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera hasil serangan roket bertubi-tubi tentera rejim Israel terhadap Gaza. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata pihaknya telah mengerahkan 40,000 tentera bagi melancarkan serangan darat ke Gaza dalam satu operasi yang digelar 'Operasi Perlindungan Sempadan'. Sementara itu, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) turut menyelar tindakan rejim Israel yang melakukan serangan ketika umat Islam Gaza sedang menjalani ibadah puasa. Ketua Umumnya Dr Mohammad Nawar Ariffin berkata perbuatan Israel itu mengesahkan lagi bahawa mereka adalah puak yang keji dan sentiasa mencari jalan provokasi dan permusuhan dengan umat Islam di Palestin khususnya, dan umat Islam seluruh dunia amnya. "Pemuda Masjid menyeru agar umat Islam di Malaysia bersatu hati dan suara untuk menyatakan bantahan terhadap apa yang berlaku di Gaza saat ini. "Pemuda Masjid meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar dapat segera menghantar nota diplomatik kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk meminta negara itu selaku negara mentor dan sekutu utama Israel untuk menghalang serangan itu daripada berterusan," katanya. Selain itu, Pemuda Masjid memohon rakyat Malaysia supaya memperuntukkan sejumlah wang untuk disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan yang akan melancarkan misi bantuan ke Gaza.