suria

Perintah Reman Tiga Suspek Pembunuhan TKP Kastam Disambung

Shaharuddin Ibrahim.
PUTRAJAYA: Perintah reman bagi tiga suspek kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim dilanjutkan tujuh hari lagi bermula Sabtu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Dahlia Azmi di Mahkamah Majistret di sini.

Pegawai Penyiasat DSP Hamzah Buman berkata dua daripada suspek itu adalah adik-beradik, masing-masing berusia 31 dan 32 tahun, dan bekerja sebagai pengimpal dan pengawal keselamatan.

Beliau berkata mereka sebelum ini ditahan reman sejak Sabtu lalu sehingga Jumaat.

"Seorang lagi suspek yang merupakan juruteknik pendawaian berusia 20 tahun ditahan reman sejak Ahad lalu," katanya.

Ketiga-tiga mereka disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada April tahun lalu, Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan dari rumah ke pejabatnya di sini.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal, melepaskan tiga das tembakan jarak dekat ke arah Shaharuddin ketika kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa.

Selasa lalu, perintah reman terhadap empat lagi suspek kes sama turut dilanjutkan selama enam hari.


pembunuhan, Shaharuddin Ibrahim

Artikel Lain